Guru pelatihku sayang:

Emosi, rasa dan perasaan sukar diterjemahkan dengan kata mahupun  bicara. Walaupun ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai maksud yang hampir sama, namun berbeza pada hakikatnya. Emosi memang telah hadir dan bersatu dalam diri setiap manusia yang bergelar insan. Emosi marah, sayang, berang dan lain-lain (5 emosi tetap yang lain) wujud secara semula jadi dengan kejadian manusia. Kita akan berasa marah, sayang dan sedih apabila emosi tadi digerakkan atau bertindak balas dengan situasi yang wujud di sekeliling kita. Umpamanya dalam keadaan tenang kita berubah menjadi marah akibat  perlakuan yang hadir di depan kita seperti kanak-kanak bermain mercun ketika kita solat tarawih, kenderaan lain memotong kenderaan kita secara sesuka hati tanpa beri isyarat, berbual dan mengumpat kita dengan terang-terangan. Apabila emosi tetap yang berada dalam diri kita dirangsang oleh peristiwa-peristiwa tersebut, maka emosi kita sudah bangkit ke alam sedar, dalam masa yang sama dalam diri kita berasa kehadiran emosi tersebut dan itulah rasa. Kita akan rasa marah, rasa menyampah , rasa hairan dan lain-lain hasil emosi yang digerakkan tadi. Rasa tersebut akhirnya membentuk perasaan dalam kalbu atau hati yang boleh dimanifestasikan dengan pelbagai cara seperti bertindak balas dengan situasi semasa.

      Oleh itu, ingatlah wahai guru pelatihku sayang, berfikirlah sebelum bertindak kerana tindakan kita sudah pasti membangkitkan emosi  dan rasa insan lain. Kalau kedua-dua rasa marah bersatu,  terjadilah pergaduhan yang hebat kerana  emosi  bergerak bukan berpandukan akal tetapi berpandukan rasa. Betullah kata pepatah ikut rasa binasa, ikut hati mati.  Secara tuntasnya, fikirkan perasaan orang lain daripada banyak memikirkan perasaan kita sendiri. Oleh hal yang demkian, hidup mestilah banyak bersabar, sentiasa bersikap positif dan utamakan orang lain daripada diri sendiri.  Oleh Azaha Ibrahim. Estetik Rasa 2012

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Format Laporan Kajian Tindakan Terkini

Contoh format dan cara menulis prosiding.